Pemain skuad B-23 Tahun negara, Annil Vigneswaran terus mencipta nama dalam saingan liga bola sepak Jerman apabila beliau sah menyertai salah sebuah kelab yang beraksi di liga divisyen tiga negara itu.

Perkara ini dikongsikan oleh Annil menerusi laman media sosial Instagram miliknya dimana pemain berusia 20 tahun itu menyertai SV Waldhof Mannheim 07 dan akan beraksi bersama skuad B-21 Tahun kelab tersebut.

“Selepas kerja keras dan banyak pengorbanan, akhirnya saya gembira kerana dapat menyertai skuad B-21 Tahun SV Waldhof Mannheim 07 untuk baki musim ini. Terima kasih kepada ejen saya dan semua orang yang menjadikan perpindahan ini kenyataan. Sudah tiba masa untuk bekerja lebih keras dan berjuang,” katanya.

Sebelum ini, Annil Vigneswaran beraksi bersama satu lagi kelab yang juga beraksi dalam saingan divisyen tiga Jerman iaitu SV Sandhausen. Selain itu, pemain kelahiran Kajang, Selangor ini pernah beraksi dengan beberapa kelab Jerman lain seperti SGV Freiberg dan Freiburger FC.

Sebelum ini, Annil pernah dipanggil untuk beraksi bersama skuad B-22 tahun negara kendalian Brad Maloney ketika itu untuk menghadapi saingan peringkat kelayakan AFC B-23 tahun di Ulaanbaatar, Mongolia pada tahun 2021 lalu.

Pemilihan beliau dalam skuad B-22 Tahun negara ketika itu mencetuskan tanda tanya di kalangan peminat dan Brad kemudiannya menjelaskan mengapa beliau membawa Annil ke Mongolia.

Annil Vigneswaran
Sumber Gambar: FAM

“Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya. Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.

“Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau.

“Keputusan telah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini,” jelas Maloney.